Blogger Layouts

Pages

Followers

Thursday, April 7, 2011

Sejarah Johor

Wibawa Hikayat Johor
Oleh Adli Shahar
adli@bharian.com.my
2011/04/06

Sejarah awal negeri itu dalam teks terbabit boleh diguna pakai untuk perbandingan

HIKAYAT Johor yang sering dijadikan rujukan pengkaji berhubung sejarah awal negeri itu masih boleh diguna pakai sebagai sumber teks maklumat mengenai negeri itu, meskipun ada beberapa fakta di dalamnya bertentangan dengan naskhah lain.
Perkara ini diakui Pembantu Profesor, Jabatan Sejarah dan Ketamadunan, Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr A Rahman Tang Abdullah, dalam kajiannya Hikayat Johor: Kajian Intertekstualiti Sebagai Aspek Pensejarahan pada Siri Seminar Bulanan Naskhah Melayu ke-3 di Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.
“Walaupun ada beberapa percanggahan fakta antara Hikayat Johor dan beberapa sumber rujukan lain seperti Tawarikh Datuk Bentara Luar dan Hikayat Pahang, ia masih boleh dijadikan antara bahan rujukan.

“Saya memperbandingkan ketiga-tiga teks berkenaan kerana ia sumber dan karya sejarah yang berkaitan dengan perkembangan sejarah di Johor bagi tempoh pertengahan kedua abad ke-19. Untuk kepastian peristiwa atau konflik, sejarawan selalunya merujuk sumber ketiga terutama British,” ujarnya.

Salah satu sebab berlakunya percanggahan itu dikatakan kerana motif pengarang Hikayat Johor, Datuk Mohd Said Sulaiman adalah untuk mempertahankan kedudukan dan integriti keluarga Kesultanan Johor.

Lalu bukan suatu yang menghairankan apabila Hikayat Johor menggambarkan Temenggung Ibrahim dan Temenggung Abu Bakar bersikap pemurah dan baik hati kepada Sultan Ali, lebih-lebih lagi dalam perkara berkaitan bantuan kewangan.
“Sebagai contoh Hikayat Johor menggambarkan peristiwa Perjanjian Johor 1953 yang memberi hak kedaulatan Johor kepada keluarga Temenggung Ibrahim atas kerelaan hati waris Sultan Hussien sendiri tanpa sebarang konflik sebelumnya.

“Sebaliknya, kita mengetahui perkara ini melalui satu proses konflik politik yang panjang dan Temenggung Ibrahim sendiri sememangnya bercita-cita untuk mempunyai kuasa mutlak di Johor,” jelasnya.

Menurut catatan Tawarikh Datuk Bentara Luar oleh Datuk Mohamad Salleh Perang, apabila perjanjian 1855 ditandatangani, timbul perbalahan antara Temenggung Ibrahim dengan Sultan Ali kerana Temenggung tidak berpuas hati apabila hasil Johor perlu dibahagikan kepada sultan itu.

Perbezaan itu berlaku kerana persekitaran tempat tinggal yang berbeza di antara kedua-dua penulis iaitu pengarang Hikayat Johor menonjolkan dimensi dalaman istana sedangkan Tawarikh Datuk Bentara Luar menonjolkan dimensi luaran istana.

Dr A Rahman berkata, perbandingan Hikayat Johor dan Hikayat Pahang pula boleh dilakukan kerana kedua-dua teks terbabit dengan ditulis dengan tujuan sama, iaitu propaganda bagi pihak istana masing-masing.

“Kedua-dua hikayat ini sering menonjolkan unsur pertentangan daripada segi penceritaan kepada sesuatu peristiwa yang sama dan boleh dilihat dalam peristiwa membabitkan hubungan dua hala Johor dan Pahang,” ujarnya.

Dalam aspek terbabit, perkara pertama yang boleh diperhatikan ialah pembabitan tentera Johor dalam Perang Pahang (1857-1863) di mana Hikayat Pahang menceritakan pembabitan tentera Johor membantu Bendahara Tun Tahir melawan Wan Ahmad.

Penulis hikayat itu mendakwa pada akhir peperangan, ramai orang Pahang menyebelahi Wan Ahmad disebabkan tidak berpuas hati dengan pembabitan tentera Johor yang kebanyakannya ialah orang Bugis.

Sebaliknya pengarang Hikayat Johor tidak memberikan tumpuan yang eksklusif mengenai perkembangan peperangan itu dan menafikan pembabitan tentera Johor secara keseluruhan kecuali pada peringkat akhir peperangan.

“Itupun Hikayat Johor mendakwa tentera Johor tidak sempat membantu Wan Mutahir kerana sudah kalah dan tiada faedah untuk membantu beliau,” katanya.
"sygana" "kongsi" cerita

No comments:

Featured Post

RAHSIA SURAH YASSIN AYAT KE 58

      Mari kita hayati dan amalkan... Barangsiapa yang membaca YAASIN sepenuhnya dan pada ayat ke 58... Surah tersebut "SALAAMU...

CERITA TERDAHULU

get this widget here

Tinggalkan jejak anda ye..:)